Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Muktamar ke-63 PAS hari ini meluluskan usul menggesa perdana menteri negara ini mesti seorang yang beragama Islam dan Perlembagaan Persekutuan harus dipinda bagi tujuan tersebut.
Usul yang diluluskan sebulat suara menggesa kepimpinan PAS dan ahli-ahli Parlimen parti itu menggesa kerajaan yang sedia ada untuk meminda Perlembagaan Persekutuan supaya hanya orang Islam boleh menjadi perdana menteri.
Usul yang dikemukakan oleh Dewan Ulama PAS itu dilulusan tanpa dibahaskan.
Menurut kertas usul yang diperoleh, memandangkan 60.4 peratus rakyat Malaysia adalah dari kalangan Muslim dan jawatan perdana menteri dalam konteks negara Malaysia merupakan kuasa eksekutif tertinggi yang menjalankan kuasa pentadbiran yang berkuasa menentukan sesebuah pentadbiran sentiasa berasaskan prinsip Islam, maka jawatan itu hanya boleh disandang oleh kalangan beragama Islam.
Selain itu, usul tersebut menyebut keperluan itu penting kerana Islam merupakan agama bagi persekutuan dan perlu ada jaminan bagi pelaksanaan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang bersangkut paut dengan hal-hal berkaitan hak keistimewaan Melayu.
“Ahli-ahli Parlimen PAS perlu mendesak kerajaan Malaysia membuat pindaan Perlembagaan Malaysia supaya jawatan perdana menteri hanya dipegang oleh kalangan warganegara Muslim yang melengkapi syarat kepimpinan dalam Islam,” kata usul itu.
Baru-baru ini, selepas usul itu mula-mula diluluskan di Muktamar Dewan Ulama, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengkritik tindakan itu atas alasan cuba mewujudkan permusuhan antara orang Islam dan bukan Islam.
30 April 2017 - 18:06
News ID: 827006
Muktamar ke-63 PAS hari ini meluluskan usul menggesa perdana menteri negara ini mesti seorang yang beragama Islam dan Perlembagaan Persekutuan harus dipinda bagi tujuan tersebut.